Selasa, 31 Ogos 2010

Merdeka ke 53, Mark Schwarzer bagaimana pula?


Sememangnya Schwarzer bukanlah rakyat Malaysia tetapi adakah dia bakal dimerdekakan oleh Fulham pada hari ini seperti mana Malaysia yang menyambut hari kemerdekaan ke 53, di mana hari ini juga merupakan hari terakhir perpindahan pemain bagi EPL. Spekulasi posisi penjaga gawang Arsenal membuatkan aku tertanya-tanya apatah lagi ketibaan Sebastien Squillaci sudah membuatkan aku yakin tiada lagi perpindahan pemain ke Emirates kecuali di bahagian benteng terakhir Arsenal.

Dikhabarkan setelah aksi menentang Blackburn Rovers, Almunia dikatakan datang kepada penyokong Arsenal dan melontarkan jersinya kepada peminat Arsenal. Timbul persoalan di sini, adakah perlawanan ini merupakan kemunculan terakhir Almunia sebagai pemain Arsenal? Boleh jadi YA, boleh jadi TIDAK, tetapi dengan posisinya digembar-gemburkan sebelum penamat musim lepas sehingga sekarang, aku yakin, peminat Arsenal pastinya tidak senang duduk sehingga tempoh masa perpindahan tamat.

Jadi sekiranya Almunia bukan lagi sebagai penjaga gol utama Arsenal, adakah dia bakal berpindah ke kelab lain, atau kekal sebagai pemain Arsenal, pilihan aku, aku mahu dia kekal di Emirates. Mari kita lihat kepada calon yang dikatakan bakal memiliki jersi no 1 Arsenal iaitu Mark Schwarzer. Pada Januari nanti, Schwarzer bakal beraksi bersama Australia untuk kempen Piala Asia kira-kira sebulan lamanya, maka ini bermakna sekiranya dia bersama Arsenal, kita akan kehilangan khidmatnya yang sudah pasti pilihan penjaga gol Arsenal ketika itu hanyalah Fabianski, Mannone atau pun Szczesny. Itu belum termasuk salah seorang daripada ketiga-tiga ini bakal dipinjamkan atau pun Almunia berpindah.

Pastinya jika Almunia berpindah dan salah seorang dipinjamkan (kemungkinan Mannone atau pun Szczesny), aku merasakan Fabianski bakal memikul peranan sebagai benteng terakhir Arsenal. Trauma? Jadi aku masih berpendapat sekiranya Almunia kekal bersama Arsenal lagi, sekurang-kurangnya ketiadaan Schwarzer nanti bukanlah terlalu trauma untuk difikirkan dibandingkan jika benteng terakhir Arsenal dimiliki Fabianski. Sebulan? Cukup lama!

Mungkin terlalu jauh untuk dipikirkan sehingga ke saat ini tetapi aku yakin esok merupakan hari yang amat penting di mana pukul 1 pagi waktu Malaysia (bersamaan 6.00PM UK) merupakan masa penamat perpindahan pemain musim panas kali ini. Sesiapa pun yang bakal di benteng terakhir Arsenal nanti, apa yang boleh aku perkatakan di sini, pastikan ianya bukanlah posisi kambing hitam lagi buat Arsenal musim ini.